ATM

ATM

Tuesday, July 21, 2009

SEJARAH ATM

Sejarah moden ATM bermula dengan pengambilan 25 orang pemuda Melayu sebagai skuad percubaan Rejimen Askar Melayu pada 1 Mac 1933. Rejimen ini terus berkembang menjadi satu batalion penuh yang dikenali sebagai Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu pada 1 Januari 1938. Batalion kedua ditubuhkan pada 1 Disember 1941 iaitu enam hari sebelum Perang Dunia Kedua bermula di Malaya. Kedua - dua batalion ini telah menunjukkan kebolehan mereka dalam peperangan menentang tentera Jepun. Selepas perang, negara dilanda pula oleh ancaman Komunis dan keadaan Darurat telah diisytiharkan pada tahun 1948. Keadaan ini memerlukan pembesaran angkatan tentera. Menjelang tahun 1950 kekuatan Rejimen Askar Melayu telah ditambah menjadi tujuh batalion. Pada zaman Darurat juga, angkatan tentera telah melihat penubuhan pasukan berbilang bangsa iaitu Rejimen Persekutuan dan Skuadron Kereta Perisai Persekutuan pada tahun 1952. Setelah negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Tentera Darat telah berkembang maju dan lengkap untuk menjalankan operasi melawan insurgensi. Pada masa ini pasukan Tentera Darat sedang pesat dipermodenkan sebagai satu pasukan tentera konvensional yang mampu untuk menghadapi cabaran masa depan.
Tentera Laut Diraja Malaysia bermula dari Pasukan Simpanan Sukarela Tentera Laut Negeri-negeri Selat pada 27 April 1934 di Singapura. Pasukan ini diperbesarkan pada tahun 1938 dengan penubuhan cawangan Pulau Pinang dan ditukarkan nama kepada Pasukan Sukarela Tentera Laut Diraja Malaya. Menjelang Perang Dunia Kedua, seksyen Melayu dalam Royal Navy telah ditubuhkan dan kekuatan pasukan ini mencapai jumlah 1430 anggota pada tahun 1941. Selepas kejatuhan Singapura pada tahun 1942, seramai 150 orang anggota Tentera Laut Malaya telah berundur ke Ceylon, India dan Afrika Timur. Anggota -anggota ini kembali ke Malaya apabila perang tamat. Malangnya disebabkan kekurangan kewangan selepas perang, Tentera Laut Malaya telah dibubarkan pada bulan April 1947. Apabila darurat tercetus pada tahun 1948, Tentera Laut Malaya telah dihidupkan semula dan diwartakan pada 4 Mac 1949. Tentera Laut Malaya dianugerahkan gelaran Diraja oleh baginda Queen Elizabeth II pada tahun 1952. Tentera Laut Diraja Malaya yang selama ini menjadi sebahagian daripada Royal Navy telah dipindahkan dari Singapura ke Persekutuan Tanah Melayu pada 12 Julai 1958. Serentak dengan ini, panji-panji Royal Navy telah ditukarkan dengan panji-panji Persekutuan Tentera Laut Diraja Malaya. Selepas penubuhan Malaysia pada tahun 1963 ia dikenali sebagai Tentera Laut Diraja Malaysia.
Titik mula TUDM ialah dengan penubuhan Pasukan Sukarela Tentera Udara Negeri-negeri Selat (SSVAF) oleh British pada tahun 1936. Pasukan ini ditukar nama kepada Pasukan Simpanan Tentera Udara Malaya pada tahun 1940 tetapi telah dibubarkan selepas Perang Dunia Kedua. Pada tahun 1950 pasukan ini telah dihidupkan semula sebagai Royal Air Force Malaya(RAF Malaya). Tentera Udara Malaya menjadi kenyataan pada tahun 1958 apabila pesawat Twin Pioneer pertama mendarat di pangkalan RAF Kuala Lumpur. Tentera Udara Diraja Malaya ditubuhkan dengan rasminya pada 2 Jun 1958.

Leftenan Adnan

Pada tahun 1934, Kampung Sungai Ramal dikunjungi oleh anggota tentera British yang bertujuan untuk mencari anak-anak muda tempatan yang berkelayakan untuk diserapkan ke dalam pasukan Askar Melayu. Beberapa pemuda kampung termasuk Adnan Bin Saidi berminat menjadi tentera, namun ibubapa beliau tidak merestui kemahuannya itu. Adnan nekad, bersama beberapa orang rakan, mereka keluar dari kampung dan menuju ke kem latihan ketenteraan di Port Diskson. Di situ mereka mendaftarkan diri dan menjalani latihan fizikal dan mental bagi melayakkan diri untuk menjadi seorang tentera. Keberanian dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh Adnan melayakkannya terpilih sebagai rekrut terbaik dan seterusnya beliau diserapkan ke dalam pasukan Askar Melayu. Dalam waktu yang singkat, Adnan telah menerima kenaikan pangkat menjadi Kolor Sarjan pada tahun 1937. Pada tahun yang sama beliau turut terpilih menyertai upacara pertabalan King George VI di London. Tidak lama kemudian, Adnan dinaikkan pangkat sekali lagi menjadi seorang Leftenan. Ketika Perang Dunia Kedua, Leftenan Adnan Saidi telah terkorban semasa mempertahankan Tanah Melayu daripada serangan tentera Jepun. Pertempuran di Bukit Candu yang terletak di Pasir Panjang, Singapura itu menyaksikan gugurnya seorang perwira Melayu yang begitu digeruni oleh musuh.

Kanang Anak Langkau

Kanang anak Langkau (lahir 1945) ialah pahlawan dan askar Malaysia yang terkenal. Berasal daripada komuniti Dayak (Iban) di Sarawak, beliau adalah daripada Rejimen Renjer Diraja dan merupakan Sarjan Mejar Rejimen kepada 8 Renjer dalam Angkatan Tentera Malaysia. Kanang dianugerahkan dengan pingat-pingat Panglima Gagah Berani dan Seri Pahlawan Gagah Perkasa oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ahmad Shah pada 3 Jun 1981. Dilahirkan di Julau, Sarawak, Kanang menyertai perkhidmatan Renjer Sarawak sebagai Pengesan Jejak Iban pada 21 April 1962. Beliau diserap ke dalam Renjer Malaysia apabila Persekutuan Malaysia diisytiharkan pada 16 September 1963. Kanang menyiapkan perkhidmatannya selepas 21 tahun sebagai Pegawai Waran 1. Menyusuli kematian seorang askar di kawasan Tanah Hitam, Perak, akibat serangan oleh pihak komunis pada 8 Februari 1980, Platun Perisikan Pertempuran Unit dalam Renjer Diraja Batalion Ke-8 di bawah pimpinan Kanang ditugasi untuk mencari-cari dan memusnahkan kumpulan komunis. Mereka menjejaki pihak musuh selama 11 hari di rupa bumi yang sudah biasa kepada pihak musuh. Pada sekitar 1500 jam waktu petang 19 Februari 1980, platunnya dapat menganggar kedudukan pihak musuh yang berhampiran. Bagaimanapun, mereka kemudian menyedari bahawa mereka telah membuat kesilapan dan telah memasuki kawasan pihak musuh apabila mereka menjumpai tali pintal komunikasi yang menghubungkan tempat terpencil sentri dengan pasukan utama pihak musuh. Tali pintal itu biasanya diikat pada sebatang pokok yang rimbun atau tin kosong supaya sentrinya boleh menarik perhatian pasukan utama tentang sebarang penceroboh. Kanang yang ketika itu berada sejauh 8 meter daripada tempat sentri pihak musuh melancarkan serangan pada rusuk kanannya. Beliau kemudian mendapati bahawa pasukan utama pihak musuh berada di rusuk kirinya dan menyerang rusuk kiri dengan serta merta. Dengan itu, beliau berjaya menumpaskan pihak musuh, dengan seorang musuh tercedera ditangkap dan lima orang komunis dibunuh. Seorang askarnya mengalami cedera parah manakala Kanang pada dirinya ditembak sebanyak tiga kali tetapi terselamat dan akhirnya kembali untuk meneruskan perkhidmatannya.

69 komando

Komando telah dilatih khusus oleh pasukan United Kingdom Special Air Service Regiment pada tahun 1969 untuk membanteras sebarang kegiatan insurgensi oleh Parti Komunis Malaya. Nama 69 Komando ini diambil bersempena tahun 1969 ditubuhkan sebagai unit tempur khas untuk menghapuskan sebarang bentuk teknik pertempuran dan taktik gerila oleh pengganas komunis. Penubuhan unit ini bermula apabila Menteri Pembangunan dan Keselamatan Dalam Negeri, Allahyarham Tun Dr. Ismail mengemukakan cadangan untuk menubuhkan satu pasukan elit untuk menentang sebarang bentuk ancaman insurgensi komunis pada tahun 1969. Pada bulan Oktober 1969, lebih kurang 60 daripada 1600 pegawai dan anggota Pasukan Polis Hutan (sekarang Pasukan Gerakan Am, PGA) telah dipilih dalam sesi latihan 69 Komando dan akan menjalani latihan asas komando. Sepasukan jurulatih dari United Kingdom Special Air Service Regiment telah dihantar ke Fort Kemar Grik , Perak untuk melatih platun percubaan 69 Komando. Diakhir latihan ini, hanya 30 orang sahaja yang berjaya dan merupakan trup nukleus pertama 69 Komando. Pada tahun 1970an, unit ini memulakan operasi komandonya dan telah dihantar untuk menghapuskan pengganas komunis di hutan. Keputusannya, ramai di antara pengganas komunis telah dibunuh, dicederakan dan lain-lain berjaya ditangkap serta jumlah senjata dan kelengkapan komunis berjaya dirampas. Pada tahun 1977, skuadron 69 Komando telah pertingkatkan kepada 3 pasukan dan telah dilatih oleh New Zealand Special Air Service serta mengadakan kursus khas untuk melatih para jurulatih 69 Komando yang terdiri daripada anak watan Malaysia sendiri. Program ini berjaya pada tahun 1980 dan unit ini mempunyai sebarang kelengkapan khas dan keperluan logistiknya sendiri.

aku dengan geng